Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 Peringkat Terengganu, orang ramai yang mempunyai bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) boleh menukar barangan tersebut dengan wang tunai.
Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekita (JAS) Terengganu, Ramli Abd Rahman, penukaran adalah mengikut harga yang ditetapkan. Sambutan ini akan diadakan di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk pada 23 Oktober ini, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Cenderahati menarik turut tersedia untuk 200 penyumbang terawal.
Jelas Ramli memetik laporan Sinar Harian, program tersebut adalah kerjasama strategik JAS Terengganu bersama kerajaan negeri, ExxonMobil, Petronas serta KT Wan Recycle.
“E-waste yang mengandungi logam-logam berat jika tidak diurus dengan baik berpotensi mencemarkan alam sekitar terutama air permukaan dan air tanah sekiranya ia dibuang ke tapak pelupusan sampah awam.
“Jika barangan ini dibakar, ia akan menghasilkan bahan pencemar udara yang merbahaya kepada kesihatan dan atas faktor itu, sistem pengumpulan e-waste yang sistematik dari industri diwujudkan,” katanya.
Tambah Ramli, program ini diadakan bertujuan untuk memberi galakan kepada masyarakat di Terengganu terhadap kaedah pembuangan e-waste dengan betul dan selamat.
Sumber: Sinar Harian