OPR kekal 3.00 peratus
Kredit BERNAMA

OPR Kekal Pada 3.0 Peratus – BNM

Syed Faisal Sayed Muhammad

OPR Kekal Pada 3.0 Peratus – BNM

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia sebentar tadi mengumumkan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada kadar 3.00 peratus.

Pengumuman itu dibuat pada pukul 3 petang tadi selepas jawatankuasa itu selesai mengadakan mesyuarat, hari ini.

Dalam kenyataan BNM sebentar tadi, keputusan itu berdasarkan penilaian terhadap perkembangan ekonomi dan keadaan inflasi semasa.

“Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan keadaan pasaran pekerja yang teguh. Terdapat beberapa tanda bahawa sektor elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) semakin pulih,” tulis kenyataan itu.

OPR kekal pada 3 peratus

Dalam pada itu, inflasi keseluruhan termasuk di peringkat global juga menurun sedikit pada beberapa bulan kebelakangan ini, namun terus melebihi purata.

Bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal KDNK bagi suku keempat telah mengesahkan bahawa pertumbuhan keseluruhan pada tahun 2023 berkembang mengikut jangkaan, kata BNM.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun 2024, disokong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional,” kata BNM lagi.

Inflasi berlaku pada kadar yang dijangkakan

Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku keempat seperti yang dijangkakan.

Penurunan itu disebabkan oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil.

“Secara keseluruhan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2023 berada pada kadar yang dijangkakan, masing-masing berpurata pada 2.5% dan 3.0% pada tahun itu.

“Pada tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil.

“Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” tambah BNM.

Namun yang penting, hasrat Kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada tahun 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan.

BACA: Jangan Marah Anak Kalau Malas Ke Sekolah, Mungkin Dia Dah Kena ‘Usik’

Sumber: Bank Negara Malaysia