KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Seorang operator kilang sarung tangan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya di rumah mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves, minggu lepas.
R. Umadevi, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Tiada pengakuan direkodkan daripada wanita itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Umadevi didakwa membunuh A. Murgan, 45, kelindan lori di sebuah rumah di Kampung Laksamana, Batu Caves di sini pada 11.30 malam, 19 Oktober lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 25 November untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: Bernama