
SIK, 4 Nov (Bernama) — Operasi mencari seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Charuk Padang, di sini masih belum menemui sebarang petunjuk.
Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdull Razak Osman berkata operasi yang melibatkan anggota daripada pelbagai agensi kini diperluaskan selepas pencarian di kawasan sekitar 10 kilometer dari rumah mangsa tidak membuahkan hasil.
“Operasi mencari diteruskan hari ini melibatkan lebih 70 anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Ikatan Relawan Rakyat.
“Kawasan pencarian yang sebelum ini sekitar 10 Kilometer (km) akan diperluaskan lagi, malah unit anjing pengesan (K9) juga turun sekali lagi hari ini bagi membantu pencarian dan saya berharap agar mangsa akan dapat ditemui segera,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di sini, hari ini.
Sementara itu, anak mangsa, Aibon, 41, berkata, sejak bapanya hilang pada 28 Okt lalu, pelbagai usaha telah dilakukan keluarganya termasuk mencari di lokasi biasa bapanya berada namun gagal menemuinya.
“Ayah saya kurang sihat dan nyanyuk, anak pun kadang-kadang dia tak kenal, kami sudah cari banyak tempat termasuklah di rumah kebajikan berhampiran termasuk rumah orang tua di Bedong, Sungai Petani,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai kehilangan warga emas itu selepas keluar dari rumahnya pada kira-kira 3 petang namun tidak pulang semula ke rumah menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan polis pada 29 Okt lalu.
— BERNAMA