KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Sebanyak 195 kematian direkodkan daripada 177 kes nahas maut yang berlaku sejak Op Selamat 16/2020 dilancarkan pada 18 Jan lepas hingga semalam, sempena Tahun Baru Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata penunggang dan pembonceng motosikal masih mencatatkan kematian yang paling tinggi dengan 127 mangsa.
Sementara Selangor kekal merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 30 kes, diikuti Johor (30 kes), Pahang (20) manakala Sarawak dan Kelantan masing-masing 18 kes.
“Dalam tempoh berkenaan, 20,337 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 5,721 kes diikuti Johor (3,199), Kuala Lumpur (2,266) dan Perak (1,708), Pulau Pinang (1,622), Negeri Sembilan (1,010), Kedah (957).
“Pahang (865), Melaka (769), Sarawak (672), Sabah (616), Kelantan (452), Terengganu (401) dan Perlis (68),” katanya dalam kenyataan di sini.
Sebanyak 341,972 saman turut dikeluarkan dengan 215,512 saman merangkumi enam kesalahan utama antaranya menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.
Op Selamat 16/2020 akan berterusan sehingga Sabtu ini.
Sumber: BERNAMA