PASIR PUTEH, 25 April (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas 11 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan menggagalkan dua cubaan menyeludup masuk rokok menerusi Operasi Khas Pagar Laut sejak 2018 hingga kini.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata operasi khas itu dilaksanakan dalam tempoh sambutan Aidilfitri pada setiap tahun bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Sejak pelaksanaan Operasi Khas Pagar Laut bermula 2018 hingga tahun ini, APMM Kelantan telah berjaya merampas 11 bot nelayan asing bernilai RM12.5 juta dan rokok seludup bernilai RM900,000, malah dua daripada 11 bot yang dirampas itu merupakan tangkapan yang dilakukan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Nor Adli berkata seramai 70 peratus daripada pegawai dan anggota APMM Kelantan akan terlibat dalam Operasi Khas Pagar Laut tahun ini.
— BERNAMA