KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) — Seramai 35 pendatang tanpa izin warga Indonesia ditahan di pesisiran Pantai Kampung Sungai Rengit, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor semalam dan seorang daripada mereka didapati cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mereka berumur lingkungan 21 hingga 57 tahun dan ditahan pada 11.20 malam ketika menunggu bot untuk pulang ke negara asal.
“Seramai 32 lelaki dan tiga perempuan ditahan susulan maklumat orang awam yang melaporkan terdapat aktiviti mencurigakan membabitkan mereka di pesisiran Pantai Kampung Sungai Rengit.
“Hasil penahanan turut mendapati seorang daripada mereka memiliki dadah syabu seberat 750 gram yang dibungkus dalam 15 bungkusan plastik,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut individu terbabit juga memiliki sejarah perjalanan memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah sebanyak tiga kali.
“Pihak kami turut merampas wang tunai berjumlah RM18,319 dan mata wang Indonesia IDR50,587,200 Rupiah (RM14,527) bersama telefon pintar pelbagai jenama, barangan kemas, jam tangan dan syabu yang dianggarkan bernilai RM41,250,” katanya.
Kesemua pendatang tanpa izin kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala laporan berhubung penahanan itu dibuat di Balai Polis Bayu Damai, Kota Tinggi, Johor.
— BERNAMA