ocbc cycle kanak-kanak
Gambar: Bernama

OCBC Cycle Kuala Lumpur 2024, Perkenal Kembali Acara Kayuhan Kategori Kanak-Kanak

Iqbal Yasir

OCBC Cycle Kuala Lumpur 2024, Perkenal Kembali Acara Kayuhan Kategori Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Selepas kali terakhir mengadakan acara kayuhan untuk kanak-kanak pada 2011, OCBC Cycle Kuala Lumpur atau popular dengan nama ‘The City Ride’ sekali lagi tampil memperkenalkan kategori Kids Push Bike dalam edisi ketujuh penganjuran acara itu pada 3 Mac tahun depan.

Pengarah Urusan OCBC Bank (Malaysia) Berhad Julius Evanson berkata kategori itu bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak menyertai acara kayuhan berbasikal dengan keselamatan yang terjamin selain menarik lebih ramai peserta dengan jangkaan 3,000 penyertaan tahun depan.

Beliau berkata ia terbuka kepada kanak-kanak berusia tiga hingga tujuh tahun melibatkan perlumbaan sejauh 250 meter (m) dan 200m.

“Sekarang kami telah bersedia untuk menganjurkan kategori kanak-kanak. Pada edisi 2011 kami adakan kategori kanak-kanak tetapi agak sukar untuk mengendalikan golongan kanak-kanak ini berbanding kategori dewasa.

“Jadi pasca pandemik kami mengadakan perbincangan dengan penganjur, Multi Green Events untuk menganjurkan semula kategori Kids Push Bike,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian OCBC Kuala Lumpur 2024 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim, di sini hari ini.

BACA: Isu Ujian Keselamatan, Daihatsu Gantung Semua Pengeluaran Domestik

Beliau berkata seperti penganjuran tahun lepas, sebanyak dua kategori dipertandingkan untuk golongan dewasa iaitu 42km dan 21km, yang terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.

Sementara itu, Adam Adli melihat acara kayuhan berbasikal bukan sahaja mampu menjadi kerangka acara sukan bersifat perlumbaan, tetapi juga sebagai aktiviti penting dalam meningkatkan tahap pembudayaan sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sudah tentu acara seperti Kuala Lumpur OCBC Cycle mempunyai potensi sebagai ruang penyerlahan bakat, namun kita mahu acara seperti ini menjadi kesempatan untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia memikirkan tentang kepelbagaian peranan aktiviti sukan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sumber: BERNAMA