Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memaklumkan bahawa ‘Notis Perintah Tutup Premis’ telah dikeluarkan di tempat-tempat yang dikunjungi oleh individu yang positif COVID-19 di daerah Cameron Highlands.
Notis itu dikeluarkan bagi tujuan pelaksanaan aktiviti nyah kuman dan nyah cemar.
“JKN Pahang telah mengesan satu kes positif COVID-19 di daerah Cameron Highland, Pahang. Kes tersebut telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JKN Pahang.
Pihak JKN Pahang juga telah menjalankan aktiviti pengesanan kontak secara aktif dan kontak-kontak rapat telah diasingkan dan disaring untuk ujian pengesanan COVID-19.
“Tiada arahan untuk menjalankan ujian pengesanan COVID-19 di klinik kesihatan dikeluarkan seperti yang ditularkan,” katanya lagi.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh JKN Pahang ini adalah susulan daripada isu tular dalam media sosial berkenaan penutupan premis akibat COVID-19 di Cameron Highlands.
Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang