NIOSH Naik Taraf Latihan Keselamatan
Tiada Kategori

NIOSH Naik Taraf Latihan Keselamatan & Kesihatan Pekerja, Kebajikan Pekerja Terbela

syafiq halim

NIOSH Naik Taraf Latihan Keselamatan & Kesihatan Pekerja, Kebajikan Pekerja Terbela

BANGI, 3 JANUARI: Kementerian Sumber Manusia akan terus mengukuhkan program Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan sumber manusia negara terbela.

Menteri Sumber Manusia YB Steven Sim Chee Keong berkata, agensi dibawah kementeriannya, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menerajui usaha berkenaan menerusi pelbagai program latihan berkaitan KKP.

Beliau turut menegaskan NIOSH akan memberi komitmen padu bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja terjamin.

Langkah itu juga selari dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan perlindungan terhadap pekerja melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022.

Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan dua kes bencana kerja yang meragut nyawa. Merujuk kepada kes Nur Ahmad Yusoff Muei di Selangor dan R. Thinesh Kumar di Pulau Pinang. Ini semakin menunjukkan pentingnya penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022. Justeru, beliau bertekad untuk menyegerakan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022.

Beliau berkata demikian ketika lawatan rasmi pertamanya ke ibu pejabat NIOSH disini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia YB. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha KSM (Dasar Dan Antarabangsa) Datuk Amran Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KSM (Operasi) Datuk Norison Ramli dan Pengarah Eksekutif NIOSH Tuan Haji Ayop Salleh.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab meningkatkan tahap KKP negara, NIOSH sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk menyertai latihan yang ditawarkan khususnya melibatkan KKP.

Ke arah itu, NIOSH sedang menaik taraf program latihan sedia ada bagi memenuhi keperluan industri serta memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan dan capaian program-program latihan yang dianjurkannya.