Niat sekumpulan empat perompak bersenjata untuk merompak sebuah kedai emas terbantut, selepas usaha mereka digagalkan oleh pemilik kedai yang juga merupakan seorang juara pertandingan menembak di Thailand, lapor The Thaiger.
Semasa kejadian, sekumpulan perompak itu bertindak menembak pintu kaca di kedai emas berkenaan untuk membuka laluan mereka masuk.
Ketika salah seorang perompak cuba untuk memotong palang keluli menggunakan roda pengisar, pemilik kedai Phisit Raphitpan melepaskan satu das tembakan yang menyebabkan mereka lari dari tempat kejadian.
Lelaki berusia 41 tahun itu melepaskan empat das tembakan dan tembakan terakhir terkena pada salah seorang perompak ketika dia cuba melarikan diri dengan motosikal.
Polis menjumpai suspek dalam keadaan terbaring berlumuran darah di luar kedai emas itu.
Difahamkan, suspek mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Somdet Pranchao Taksin Maharat untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke hospital di wilayah Phitsanulok.
Seorang lagi perompak dilaporkan telah melarikan diri tanpa menggunakan apa-apa pengangkutan. Dia kemudiannya ditangkap dan ditahan oleh pegawai polis di sebuah lorong berhampiran dari Balai Polis Mueang Tak.
Dua suspek lagi berjaya meloloskan diri dan masih belum dijumpai polis. Polis berkata kemungkinan perompak itu merupakan warga Burma yang menyeberangi sempadan ke Myanmar melalui laluan pedalaman.
Menurut polis, suspek yang dipercayai warga Thailand yang cedera bersama seorang lagi suspek telah ditahan sebelum ini kerana membuat jenayah yang sama, merompak sebuah kedai emas pada Februari awal tahun ini.
Sementara itu jurucakap Tentera Diraja Thailand , Mejar Kitti Kerdphon memaklumkan kepada pemberita bahawa pemilik kedai emas Phisit telah dilatih menggunakan senjata api.
Phisit merupakan seorang yang sangat meminati senjata api. Dia telah hadir ke lapangan menembak bersama isterinya pada lapan tahun lalu. Sejak daripada itu, dia kerap berlatih di padang menembak.
Phisit kemudiannya menyertai dan memenangi pertandingan menembak di wilayah Tak.
Peguam terkenal Decha Kittiwittayanan berkata Phisit menggunakan senapang patah secara sah kerana penyerang cuba untuk merompak kedai emasnya dengan mengacukan senjata.
Decha berkata lima das tembakan yang dilepaskan adalah untuk melindungi diri.
Sumber: The Thaiger