
Niat Nak Jaga Mak Cik Sakit, Tahu-tahu Jadi ‘Pengasuh’ Satu Wad Di Hospital
Kadang-kadang, kita tak perlu pertalian darah untuk saling berbuat baik. Kita juga tak perlu saling mengenali untuk menghulurkan bantuan. Cukup punya hati ‘manusia’, itu sudah memadai.
Begitulah kisah indah yang dikongsikan seorang wanita ini menerusi Threads @afifah.hgm.
Wanita ini berkongsi kisah ketika beliau menjaga ibu saudaranya yang menjalani rawatan kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ketika itu, beliau menetap sebagai penjaga di wad kelas ketiga selama hampir dua minggu.
Di wad tersebut, kebanyakan pesakit adalah ibu-ibu yang menghidap kanser dan ramai antara mereka tidak mempunyai penjaga yang menemani sepanjang masa.
Kongsinya, setiap pagi, wanita ini akan turun ke kantin untuk membeli sarapan.
“Tiba-tiba ada seorang mak cik ni tanya, ‘Dik, boleh kirim tak belikan sarapan? Mak cik bagi duit’. Pastu aku cakap boleh, tiba-tiba mak cik-mak cik yang lain dalam wad tu pun ‘Mak cik pun nak kirim sekali boleh?’.
“Lepas tu setiap pagi, aku akan ambil order tulis kat kertas nama sorang-sorang dan pergi beli sarapan untuk mak cik-mak cik tu,” katanya.
Sejak hari itu, setiap pagi dia menjadi ‘runner tidak rasmi’ untuk hampir 10 pesakit di wad tersebut. Siap tulis “order” seorang demi seorang, angkat makanan dan minuman penuh di tangan.
“Tapi, aku seronok dapat tolong mak cik-mak cik tu. Sebab aku dah takda mak,” tambahnya.
Namun, kongsinya, ada seorang mak cik di hujung katil yang tidak pernah meminta apa-apa. Walaupun anak-anaknya ada datang melawat pada waktu petang, tiada siapa tinggal menjaga.
Wanita ini menghampiri dan bertanya lembut sama ada mak cik tersebut mahu makan. Pada mulanya mak cik itu menolak.
“Pastu aku pujuk lagi, ‘Mak cik, saya suap nak?’. Dia angguk, dia cakap boleh juga sikit-sikit ye nak sebab mak cik nak rasa sikit je’. Aku pun suap sikit-sikit. Eh, tahu-tahu habis,” katanya.
Kemudian, tak disangka, mak cik itu memegang tangannya sambil meminta tolong untuk dimandikan. Wanita ini bersetuju tanpa ragu.
“Pastu lepas dah siap mandi, aku pakaikan baju, bedakkan dan sikatkan rambut mak cik tu. Seronok sangat dia lepas dah rasa segar badan,” kongsinya.
Namun di saat itu, air matanya mengalir deras. Dia teringat arwah ibunya yang juga meninggal dunia akibat kanser.
Lebih hiba apabila mak cik itu berkata dia risau meminta bantuan kerana takut wanita itu geli melihat keadaan kulitnya yang rosak akibat kanser.
“Aku cakap tak, aku tak geli pun. Sebab arwah mak aku pun melanoma juga. So, aku faham. Pastu mak cik tu sungguh-sungguh doakan aku macam-macam. Nangis ye aku…,” katanya hiba.
Tiba hari mereka perlu pulang. Suasana wad yang biasanya penuh gelak tawa berubah sayu. Seorang demi seorang makcik memeluknya sambil menangis.
Wanita itu cuba ketawa menahan sayu, bergurau, “Kang saya apply kerja nurse kat sini kang…”
Namun jauh di sudut hati, hanya Allah yang tahu betapa beratnya untuk meninggalkan mereka.
Kongsinya lagi, nombor telefon beberapa mak cik masih disimpan hingga ke hari ini. Tetapi, dia mengaku masih tidak berani bertanya khabar, mungkin takut menerima jawapan yang dia tidak bersedia untuk dengar.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya kagum dengan peribadi wanita ini. Tak kurang, ramai juga yang menitipkan doa buatnya.
Kadang-kadang, kita tidak sedar kehadiran kita mampu memberi sinar kepada hidup orang lain. Tindakan kita mungkin kecil, tetapi besar maknanya buat mereka.
Semoga kisah ini mengajar kita untuk lebih menghargai, lebih menyayangi dan saling menjaga, walau bukan darah daging kita.
BACA: Wanita Share Pengalaman CT Scan, Rasa Sakit Buat Ramai ‘Kecut Perut’
Sumber: Threads @afifah.hgm