NGO Minta Kerajaan Pulau Pinang Batal Cadangan Bina Asrama Pekerja Warga Asing
Kredit: Bernama

NGO Minta Kerajaan Pulau Pinang Batal Cadangan Bina Asrama Pekerja Warga Asing

Nur Syahirah Zainoor Hisham

NGO Minta Kerajaan Pulau Pinang Batal Cadangan Bina Asrama Pekerja Warga Asing

GEORGE TOWN, 28 Dis (Bernama) — Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) meminta kerajaan negeri membatalkan cadangan pembinaan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar kerana dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat setempat.

Pengerusinya Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata sekiranya diluluskan, projek itu dikhuatiri akan menimbulkan kejutan budaya kepada masyarakat setempat disebabkan kehadiran ramai warga asing sekali gus menjejaskan keharmonian kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata pembinaan asrama itu juga dibimbangi akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua hala dari Teluk Kumbar ke Bayan Lepas terutamanya pada waktu puncak, selain pelbagai masalah sosial dan isu kebersihan.

“Projek ini membabitkan tiga kawasan iaitu sekitar Bandar Baru Perda Teluk Kumbar, Bagan Teluk Kumbar dan Sungai Batu, dan sekiranya dilaksanakan seramai 35,000 pekerja warga asing akan ditempatkan di ketiga-tiga kawasan terbabit dengan jangkaan setiap lokasi akan memuatkan lebih 10,000 pekerja mengikut keluasan tapak.

“Ini adalah satu kepadatan yang amat tinggi kerana jumlah pekerja asing yang akan dibawa masuk untuk tinggal di kawasan ini dilihat lebih tinggi dari jumlah penduduk tempatan sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya bersetuju supaya satu kawasan dikhususkan bagi menempatkan warga asing untuk memudahkan pengawalan, namun ia harus berdekatan tempat kerja mereka.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jason H’ng Mooi Lye berkata kerajaan negeri belum memuktamadkan perancangan membina asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar, meskipun projek itu sudah mendapat kelulusan Jawatankuasa Perancang Negeri.

BACA: Lama Perhati, Kenapa Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’? Ini Puncanya

Sumber: Bernama