Gambar: Bernama

NFCC, CSM Perangi Jenayah Kewangan, Kekang Ketirisan Dalam Aspek Keselamatan Siber

Aqmal Ezany

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) — Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) bersetuju membentuk inisiatif mendokong serta menggembleng agenda memerangi jenayah kewangan dan mengekang ketirisan khususnya dalam aspek keselamatan siber.

Perkara itu dinyatakan dalam Memorandum Kerjasama (MoC) NFCC dan CSM yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif CSM Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab secara maya hari ini.

Mustafar dan Amirudin dalam kenyataan bersama berkata MoC yang ditandatangani itu merupakan komitmen kerjasama untuk membanteras jenayah kewangan dengan menggembleng pengetahuan, kepakaran dan perkongsian pengalaman kedua pihak.

Menurut kenyataan itu, perbincangan untuk mengadakan kerjasama antara NFCC dan CSM itu telah bermula sejak 2020.

“Kesefahaman dalam memerangi jenayah kewangan dan mengekang ketirisan menjadi agenda utama kerjasama ini. Bidang kerjasama dalam aspek keselamatan siber dan penganalisisan data menjadi antara bidang utama yang menjadi fokus kedua-dua agensi,” menurut kenyataan itu.

Majlis menandatangani MoC itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan dihadiri Pengerusi Lembaga Penasihat NFCC Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CSM Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Mohd Zuki dalam ucapannya berkata kerjasama oleh NFCC dan CSM itu merupakan sebahagian daripada pendekatan ‘Whole of Government’ atau ‘Whole of Nation Approach’ untuk membanteras jenayah kewangan.

“Pendekatan ini amat perlu bagi negara melaksanakan agenda besar termasuk dalam menghadapi ancaman-ancaman kegiatan jenayah kewangan yang makin berleluasa.

“Kerana itulah kerjasama bersepadu pelbagai entiti kerajaan khususnya dalam penggunaan data raya secara optimum, di samping memastikan keselamatan dan perlindungan data adalah amat penting serta kritikal untuk memastikan proses pengumpulan, pengurusan dan penganalisisan data dibuat dengan cekap dan secara automatik,” kata Mohd Zuki.

Beliau berkata jenayah melibatkan penggunaan teknologi menunjukkan trend semakin membimbangkan dan kajian oleh Jabatan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) pada 2020 menunjukkan jenayah penipuan seperti memancing data dan skim pelaburan haram yang telah meningkat.

Menurut Mohd Zuki, Polis Diraja Malaysia pula mengenal pasti 80,000 akaun keldai yang telah digunakan oleh sindiket penipuan dalam talian sepanjang 2019 dan 2020.

Antara Januari hingga Julai 2020, menurutnya sebanyak 672 laporan polis dibuat berkaitan sindiket penipuan pelaburan dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir RM100 juta dengan RM52 juta daripada kerugian itu dikaitkan dengan pelaburan dalam talian.

“Mengambil kira betapa seriusnya perkara ini, negara tidak boleh membenarkan sebarang ketirisan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tidak dingini,” katanya.

Gambar: BERNAMA