nestle malaysia umt lkim
Tiada Kategori

Nestlé Malaysia, UMT & LKIM Pelihara Laut Dan Sokong Masyarakat Nelayan Terengganu

syafiq halim

Nestlé Malaysia, UMT & LKIM Pelihara Laut Dan Sokong Masyarakat Nelayan Terengganu

Inisiatif Pembersihan Pantai dan Bawah Laut 2025 Nestlé Malaysia telah diadakan di Terengganu untuk membantu usaha memulihara laut dan memberi sokongan kemasyarakatan menerusi kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan komuniti nelayan tempatan di Pantai Tok Jembal. Dengan memperbaharui tekad dan mengambil tindakan setempat yang lebih berkesan, lebih 350 sukarelawan—termasuk kakitangan Nestlé, pelajar UMT dan wakil LKIM berganding bahu dengan sokongan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk mengeluarkan pukat hantu yang tersangkut dari dasar laut, membersihkan kawasan tepi pantai, membuang teritip dari bot nelayan, membaiki pondok nelayan dan mengedarkan barangan keperluan asas kepada komuniti nelayan.

Sebagai sebahagian daripada Program Sukarelawan Kakitangan Nestlé Sayang Komuniti, inisiatif ini bertujuan membaik pulih persekitaran pantai dan mewujudkan kesedaran awam tentang kesan pencemaran laut. Inisiatif ini juga menyokong komuniti nelayan yang bergantung hidup mereka pada lautan yang bersih dan kehidupan marin yang sihat menerusi usaha kolaboratif serta penglibatan komuniti.

Di Pantai Tok Jembal, sukarelawan Nestlé dan UMT Ocean Heroes juga menjalankan kerja membersihkan dasar laut di Pulau Bidong yang berdekatan untuk membuang pukat hantu dari dasar laut. Pukat nelayan terbuang ini menyebabkan bot merosakkan terumbu karang dan ekosistem marin. Para penyelidik UMT juga menjalankan audit sisa untuk mengumpul data yang menyokong perlindungan marin dalam jangka panjang.

Kawasan luar pesisir Terengganu, yang menempatkan terumbu karang yang sihat dan merupakan kawasan menangkap ikan utama, adalah antara kawasan yang paling terjejas di Malaysia akibat pengumpulan sisa plastik di perairan pantai. Kajian mendapati rakyat Malaysia antara yang paling banyak menelan mikroplastik di peringkat global, sebahagian besarnya menerusi pengambilan makanan laut. Perkara ini sekali lagi mengesahkan bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengurangkan pencemaran marin demi manfaat alam sekitar dan juga kesihatan awam.

En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “Di Nestlé, pendekatan Menjana Nilai Bersama mendorong kami untuk menjana manfaat berkekalan demi penduduk sejagat dan bumi kita. Cita-cita kami untuk mencapai keneutralan plastik mendorong kami untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan bagi menyingkirkan sisa plastik dari alam sekitar dan menerapkan amalan lestari di seluruh rantaian nilai kami. Kerjasama ini di Terengganu bersama rakan-rakan kami dan komuniti Pantai Tok Jembal mencerminkan komitmen mendalam kami untuk melindungi ekosistem semula jadi sambil menyokong golongan yang mencari rezeki dalam ekosistem tersebut. Memandangkan mikroplastik kini semakin mengancam sistem makanan kita, inisiatif seperti ini bukan sahaja penting bagi kesihatan alam sekitar tetapi juga mengukuhkan keterjaminan dan keselamatan makanan serta kemampanan jangka panjang komuniti penduduk tepi pantai kita.”

UMT, sebuah institusi terkemuka di Malaysia dalam bidang kajian marin dan pinggir laut, memainkan peranan penting dalam kerja-kerja pembersihan bawah laut – daripada perancangan strategik dan penyelarasan selaman kepada analisis sisa marin. Prof. Madya Dr. Yusof Shuaib Ibrahim, Kumpulan Penyelidik “Microplastics Research Interest Group” (MRIG-UMT) berkata, “Kerjasama kami dengan Nestlé Malaysia telah membolehkan kami memanfaatkan hasil penyelidikan yang membawa impak dunia sebenar. Dengan menyingkirkan pukat hantu dan sampah laut, kami bukan sahaja menambah baik ekosistem marin tetapi juga mengukuhkan punca pendapatan masyarakat nelayan tempatan. Kerjasama ini meningkatkan kesedaran dan mengukuhkan landasan bagi penjagaan alam sekitar jangka panjang di Malaysia.”

Selain daripada Terengganu, seramai 190 lagi kakitangan Nestlé telah menerajui usaha pembersihan di Pantai Kelanang (Selangor), Pantai Teluk Senangin (Perak) dan Pantai Tanjung Aru (Sabah), yang meneruskan usaha jangka panjang Syarikat untuk menangani sisa plastik secara besar-besaran. Semua sampah yang dikutip disisihkan secara bertanggungjawab dan dihantar kepada pengitar semula yang ditetapkan atau kemudahan pelupusan yang diluluskan.

Program Pembersihan Pantai dan Bawah Laut 2025 menyaksikan sejumlah sekitar 2 tan sisa dikutip. Sejak dimulakan pada 2019, inisiatif tahunan ini telah mengeluarkan sejumlah hampir 17 tan sisa marin daripada pantai-pantai Malaysia.

Nestlé Sayang Komuniti (dahulu dikenali sebagai Nestlé Cares) ialah platform Nestlé Malaysia untuk memperkasakan kakitangan untuk menabur bakti secara langsung kepada komuniti dan tujuan alam sekitar. Menerusi kerjasama dengan komuniti tempatan dan rakan alam sekitar, Nestlé Malaysia terus membina kelestarian jangka panjang dan punca pendapatan yang mampan walaupun menghadapi kemelut alam sekitar yang semakin mencabar.