
Nenek Berumur 106 Tahun Jadi ‘Cover’ Model Tertua Majalah
Siapa sangka, seorang wanita tua bertaraf nenek yang berumur 106 tahun ‘terpilih’ menjadi model utama muka hadapan sebuah majalah hiburan terkenal di Filipina, iaitu Vogue?
Vogue Philippines mendedahkan nenek tersebut, Apo Whang-Od sebagai bintang muka depan keluaran April, sekali gus menjadikan wanita berusia 106 tahun dari Filipina itu sebagai model tertua pernah muncul di Vogue.
Menariknya, ada sebab tertentu kenapa Whang-Od menjadi model depan majalah kali ini, segalanya adalah kerana kisahnya sebagai tukang tatu tradisional Filipina terakhir dalam generasinya.
Lapor CNN, difahamkan Whang-Od adalah satu-satunya ‘tukang tatu tradisional’ atau disebut sebagai ‘mambabatok’ Kalinga yang tertua di negara itu.
Sepanjang hayatnya banyak dihabiskan dengan menyempurnakan seni tatu dan mengetuk tangan pelanggan sejak dari remaja lagi, selepas menuntut ilmu daripada ayahnya.
Whang-Od yang juga dikenali sebagai Maria Oggay menetap di perkampungan di kawasan pegunungan Buscalan, kira-kira 15 jam di utara Manila di wilayah Kalinga.
Suatu ketika dahulu, Whang-Od hanya melakukan seni tatu dengan menggunakan batang buluh, duri dari pokok pomelo, air dan arang batu yang diperoleh oleh pahlawan Butbut pribumi.
Dan kini, pelancong antarabangsa sering mencari Whang-Od untuk mendapatkan tatu susulan dia pakar dalam menghasilkan tatu reka bentuk geometri.
“Digembar-gemburkan sebagai ‘mambabatok’ terakhir dalam generasinya, dia telah menghasilkan simbol-simbol suku Kalinga dengan baik ketika melakukan tatu.

“Penghasilan seni Whang-Od dalam tatu telah menunjukkan kekuatan, keberanian dan kecantikan pada kulit beribu-ribu orang yang telah menziarahi Buscalan,” memetik kata Vogue Filipina di media sosial.
Difahamkan, seni itu hanya boleh diturunkan kepada saudara-mara yang mempunyai pertalian darah, dan Whang-Od telah melatih cucunya Elyang Wigan dan Grace Palicas selama beberapa tahun.
BACA: Dulu Disindir, Remaja Tular Kini Dah Jadi Model Charles & Keith
“(Rakan saya yang melakukan tatu) semuanya telah meninggal dunia.
“Saya satu-satunya yang masih hidup dan melakukan tatu. Tetapi saya tidak takut tradisi itu berakhir kerana (saya sedang melatih) ahli tatu seterusnya.
“Tradisi ini akan berterusan selagi permintaanya tinggi,” tambahnya.
Sementara itu Ketua Pengarang Vogue Filipina, Bea Valdes berkata kakitangan penerbitan itu memutuskan sebulat suara bahawa Whang-Od harus tampil sebagai bintang muka hadapan majalah.
“Kami merasakan dia mewakili apa yang kami fikirkan mengenai budaya Filipina.
“Kami percaya bahawa konsep kecantikan perlu berkembang, termasuk wajah dan bentuk yang pelbagai serta inklusif. Apa yang kami harap untuk diperkatakan adalah kecantikan dalam kemanusiaan,” katanya.
Sebelum kemunculan Whang-Od di Vogue Filipina, rekod model muka hadapan Vogue tertua sebelum ini dipegang oleh pelakon Judi Dench.
Pelakon tersebut muncul sebagai model muka hadapan Vogue British pada 2020 ketika berusia 85 tahun.
Sumber: CNN