nenek mangsa angkasawan
Gambar: AI/ImageFX

Nenek Mangsa Love Scam ‘Angkasawan’ Minta Duit Beli Oksigen

Hannah

Nenek Mangsa Love Scam ‘Angkasawan’ Minta Duit Beli Oksigen

Seorang warga emas di Jepun menjadi mangsa penipuan dalam talian selepas diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai seorang angkasawan yang kononnya terperangkap di angkasa lepas.

Difahamkan, mangsa berusia 80 tahun dari Sapporo itu dikatakan berkenalan dengan lelaki berkenaan melalui media sosial.

Lelaki tersebut mendakwa dirinya berada di atas kapal angkasa yang sedang mengorbit bumi.

Tidak lama kemudian, ia mula meraih simpati dengan mendakwa kapal itu ‘diserang’ serta bekalan oksigennya hampir habis.

Menurut laporan Sapporo Television Broadcasting (STV), lelaki tersebut kemudian merayu agar mangsa memindahkan wang bernilai 1 juta yen (sekitar RM28,527.00) untuk membeli oksigen.

Peningkatan kes “scammer” di Jepun membimbangkan

Kes yang menimpa wanita dari Sapporo ini bukanlah yang pertama menggunakan helah ‘angkasawan’.

Pada tahun 2022, seorang wanita berusia 65 tahun turut ditipu sebanyak 4.4 juta yen oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai angkasawan Rusia.

Suspek kononnya memerlukan wang untuk membayar ‘yuran roket’ sebelum mereka dapat berkahwin setelah dia kembali ke bumi.

Fenomena ini mencerminkan trend membimbangkan di Jepun. Statistik rasmi menunjukkan kes penipuan khas termasuk “love scam”, panggilan palsu dan penyamaran sebagai ahli keluarga atau pegawai polis semakin meningkat.

Pada tahun 2024 sahaja, lebih 20,000 kes direkodkan dengan kerugian mencecah 71.8 bilion yen.

Tahun ini, angka itu semakin parah di mana antara Januari hingga Julai 2025, jumlah kerugian sudah pun mencecah 72.2 bilion yen, mengatasi jumlah keseluruhan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 65 peratus mangsa berusia 65 tahun ke atas. Manakala, hampir 40 peratus mangsa lain terdiri daripada golongan muda berusia 20-an hingga 30-an.

BACA: Syarikat Tawar Bonus Turun Berat Badan Untuk Pekerja

Sumber: SCMP