ALOR SETAR, 15 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), seorang nelayan yang dipercayai terjatuh ke laut ketika menangkap ikan kira-kira 4.1 batu nautika utara Pulau Payar, Langkawi, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada tekong bot yang dinaiki mangsa, sebelum pasukan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, melancarkan SAR pada pukul 9.50 pagi.
“Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya, dipercayai lelaki warganegara tempatan berusia awal 20-an, dilaporkan keluar ke laut bersama tekong dan seorang lagi nelayan dengan menaiki sebuah bot pukat tunda.
“Mangsa disedari hilang pada jam 8.50 pagi tadi dan menurut tekong bot tersebut, mangsa menggantikan salah seorang kru yang bercuti dan dikatakan baru pertama kali bekerja di bot tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mahmad Faizal berkata, buat masa ini sektor pencarian merangkumi keluasan 25 batu nautika persegi dan melibatkan aset daripada Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan beberapa bot nelayan tempatan, yang turut sama membantu mencari mangsa.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini, diharap dapat menghubungi Pusat Operasi Maritim, Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.
— BERNAMA