Gambar sekadar hiasan

Nelayan Dikhuatiri Lemas, Terjatuh Daripada Bot Ketika Menangkap Ikan

Sha Rossa

KUANTAN, 3 Nov (Bernama) — Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di 16 batu nautika dari timur Kuala Endau, Rompin kira-kira 130 kilometer dari sini, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, tekong dan awak-awak yang turut menaiki bot berkenaan telah bertindak mencari mangsa, Mohd Harif Mohd Rosdi, 38, yang dipercayai tidak memakai jaket keselamatan tetapi tidak berjaya menjumpai mangsa.

Beliau berkata, susulan maklumat itu pihaknya bertindak melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan kapal maritim, KM Tatau dan KM Pekan yang beroperasi di sekitar perairan Pulau Tioman untuk digerakkan ke lokasi kejadian.

“Namun, sehingga petang ini mangsa belum ditemukan dan operasi diteruskan dengan keluasan pencarian lebih kurang 182 batu nautika persegi,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Katanya, operasi berkenaan turut melibatkan pesawat udara Bombadier CL415 yang diterbangkan dari Stesen Udara Maritim Subang, Selangor bagi melakukan pencarian di sekitar lokasi kejadian selain dibantu Pasukan Polis Marin Kuantan dan tiga bot nelayan tempatan.

— BERNAMA