SEREMBAN, 21 Dis (Bernama) — Negeri Sembilan merekodkan satu kematian baharu akibat denggi dalam tempoh 13-19 Dis lalu, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 10 kes untuk tahun ini setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata pada minggu itu juga sebanyak 21 kes denggi dilaporkan di seluruh negeri.
Bagi tempoh Januari hingga 19 Dis lalu, Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes sebanyak 26.8 peratus kepada 2,858 kes berbanding 2,254 kes untuk tempoh sama tahun lepas, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu, Seremban mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,441 kes.
Veerapan berkata pada masa ini terdapat empat lokaliti dikesan masih aktif wabak iaitu Taman Jasmin, Taman KS, Taman Sri Puteh dan Flat Dahlia yang kesemuanya terletak di Seremban.
Sumber: BERNAMA