Peminat kelab bola sepak Manchester United mungkin hingga saat ini masih kecewa dengan kekalahan 5-0 pasukan tersebut menentang Liverpool baru-baru ini.
Tapi peminat yang dah 19 tahun setia dengan Man United ni boleh dikatakan ‘bernasib baik’ kerana tak sempat menonton perlawanan tersebut hingga ke saat akhir.
Memetik laporan Mothership, lelaki asal dari Singapura yang dikenali sebagai Rifdi ini sempat melalui detik cemas apabila ketuban isterinya pecah selepas 15 minit perlawanan tersebut dimulai.
Pada hari kejadian, Rifdi bersama pasangannya, Nash dikatakan sedang bersorak sambil menonton perlawanan Liverpool-Man United di televisyen dan Liverpool ketika itu telah mendahului dua gol.
Namun tak disangka-sangka, Nash yang sedang sarat mengandung ketika itu menyedari yang ketubannya pecah.
“Saya tengah ketawa masa tu dan tiba-tiba ketuban saya pecah.
“Suami (Rifdi) ingatkan saya bergurau, sampai saya tunjuk kesan basah pada sofa,” kata Nash ketika dihubungi Mothership.
Momen ini sempat terakam di kamera litar tertutup (CCTV) rumah pasangan berkenaan. Dalam rakaman tersebut, dapat dilihat Rifdi yang ketika itu memakai jersey Manchester United terpinga-pinga melihat isterinya yang sudah tertunduk sambil memegang perut.
Pun begitu, dalam keadaan Rifdi yang kelam-kabut menangani sang isteri, matanya masih sempat melirik ke kaca televisyen di mana perlawanan tersebut sedang berlangsung.
Kata Nash kepada Mothership, dia tiba di hospital sekitar jam 12.30 tengah malam dan bayi mereka selamat dilahirkan pada jam 3.02 pagi pada 25 Oktober lalu secara normal.
Bercakap mengenai perlawanan Liverpool-Man United yang tak sempat mereka tonton hingga habis, Nash rasa bernasib baik kerana mereka tak menontonnya hingga tamat.
“Nasib baik kami tak sempat habiskan game, kalau tak mesti suami saya dah menangis di rumah,” kata Nash juga berharap cahaya mata mereka akan menjadi peminat Man United kelak.
Sumber: Mothership