Seekor harimau betina yang sebelum ini tercedera kerana terkena jerat disahkan mengalami kecacatan kekal.
Menurut Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, harimau bernama Kinta itu kini sedang dilindungi di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).
Kinta merupakan salah seekor Harimau Malaya yang berada di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC). Harimau betina ini telah diselamatkan dari Hutan Simpan Bukit Kinta, Perak pada tahun 2010.
Semasa diselamatkan, Kinta mengalami kecederaan yang serius akibat terkena jerat pada kaki kiri hadapannya.
Baru-baru ini, rawatan klinikal telah dijalankan ke atas Kinta kerana terdapat luka yang baru pada kaki tersebut. Rawatan telah dijalankan oleh Pegawai Veterinar dan kakitangan NWRC.
Nasib Kinta sangat malang kerana telah mengalami kecacatan kekal akibat jerat! Jerat adalah pembunuh senyap yang tidak mengenal mangsa.
Memiliki jerat merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Sumber: Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia