
National Aeronautics and Space Administration (NASA) mengumumkan teleskop angkasa James Webb milik mereka bakal dedah imej terjauh alam semesta yang pernah dirakam setakat ini, lapor Daily Mail.
Difahamkan, teleskop gergasi bernilai RM44 bilion yang terletak tepat kira-kira 1.2 juta kilometer ‘di belakang’ Bumi itu bakal mengeluarkan imej terjauh kali pertama tersebut pada minggu depan, maklum agensi itu.
Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata pada sidang media secara langsung pada Rabu, “Ia lebih jauh yang pernah dilihat oleh manusia sebelum ini dan kami mula mengetahui kebolehan yang dapat dilakukan oleh Webb,”
Difahamkan, James Webb mengambil masa selama 20 tahun untuk siap dibina sepenuhnya. Melalui teleskop ini, segala ‘rahsia’ di sebalik beberapa misteri alam semesta selepas letupan besar (big bang) berlaku dipercayai dapat ‘dibongkar’.
“Kami dalam fasa mendapatkan sejarah maklumat,” tambah Nelson.

Merujuk laporan Daily Mail, infografik di atas merupakan ‘lakaran’ hasil imej yang dirakam James Webb selama 120 jam sepanjang lima hari pemerhatian.
Walaupun agak pelik untuk memikirkan teleskop ‘berfungsi’ sebagai mesin masa, namun pada asasnya ia telah menjalankan kerja dengan baik. Tambahan pula, di cakerawala, jarak hanya dapat diukur dengan berapa lama tempoh cahaya bergerak.
Menurut NASA, bintang terdekat kita adalah sejauh empat tahun cahaya. Jadi sekiranya kita melihat bintang terdekat itu pada hari ini, maka ia sebenarnya adalah bintang empat tahun lepas., apatah lagi galaksi lain yang berada sangat jauh.

Galaksi Kluster Virgo merupakan galaksi terbesar yang terdekat dari Bima Sakti dengan jarak kira-kira 60 juta tahun cahaya. Itu bermakna, cahaya yang dapat kita lihat hari ini adalah jarak masa bersamaan kepupusan dinosaur di Bumi.
“Sudah ada penemuan sains yang sudah dijumpai dan selebihnya masih belum ditemui,” kata Nelson.
Walaupun saintis NASA tidak menyatakan secara jelas apa yang akan diperlihatkan kepada awam selepas gambar itu dikeluarkan, namun mereka telah memberikan beberapa petunjuk.
“Salah satu matlamat adalah untuk mencari galaksi pertama yang terhasil di alam semesta selepas letupan besar,” jelas Timbalan Saintis Projek James Webb, Jonatan Gardner di NASA Goddard.


NASA juga berkata imej itu akan termasuk spektrum pertama exoplanet. Sebenarnya, spektrum bertujuan mengukur jumlah cahaya yang dipancarkan pada panjang gelombang tertentu dan boleh memberikan cerapan mengenai bagaimana pembentukan planet itu dan sejarah alam semesta tercipta.
Para saintis juga menyatakan bahawa James Webb bakal menghasilkan lebih banyak data dan gambar dalam beberapa bulan dan tahun akan datang.
Sebelum James Webb dilancarkan sejak enam bulan lalu iaitu pada 25 Disember 2021, penyelidik dan saintis telah memastikan cermin (lensa) besar dan semua alatan saintifik diselaraskan untuk berfungsi.


Saintis projek Webb, Institut Sains Teleskop Angkasa, Klaus Pontoppidan berkata, “Kami juga akan memerhati bagaimana galaksi berkembang dan berinteraksi. Namun, kami hanya meramalkan sahaja permukaan.
“Pada mulanya kami hanya mempunyai beberapa hari sahaja untuk menjalankan pemerhatian walaupun berharap dapat melakukan selama bertahun-tahun,” katanya, memetik Daily Mail.
NASA secara rasmi akan mengeluarkan imej pertama dari Teleskop James Webb pada 12 Julai depan pada 10:30 pagi waktu tempatan, menurut Daily Mail.
Sumber: Daily Mail