jumpa fosil dinosaur belakang rumah
Kredit: AFP & Science.org

Nak ‘Renovate’ Belakang Rumah, Terkejut Jumpa Fosil Dinosaur

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Hasrat seorang individu untuk merenovasi ruang halaman di belakang rumahnya di Pombal, Portugal bertukar gempar apabila struktur misteri yang tertanam di tanah rupanya fosil dinosaur, memetik laporan Metro UK.

Imbas kembali, segalanya bermula apabila struktur aneh tersebut ditemui individu berkenaan semasa dia ketika itu mahu menjalankan kerja-kerja pembinaan di halaman rumahnya pada 2017 lalu.

Namun apabila dia menyedari struktur itu menyerupai fosil tulang, individu berkenaan melaporkan penemuan itu kepada penyelidik dari Universiti Lisbon untuk siasatan lanjut bagi mengesahkan penemuannya.

Sehubungan itu, pihak penyelidik memberi maklum balas dan kerja-kerja eskavasi mula dijalankan di halaman tersebut bermula pada tahun sama sehinggalah segalanya terungkai kira-kira lima tahun kemudian (kini).

Difahamkan, pada awal bulan ini, sekumpulan ahli palaeontologi dari Sepanyol dan Portugal yang terlibat dalam kerja-kerja penggalian menemui rangka tulang belakang serta tulang rusuk yang dipercayai milik dinosaur spesies sauropod brachiosaurid.

Kredit: AFP via Metro UK

Seorang penyelidik dari Fakulti Sains, Universiti Lisbon berkata, penemuan fosil dinosaur yang lengkap tersebut boleh dikatakan sangat luar biasa baginya.

Dalam pada itu, katanya rangka tersebut ditemui dalam batu-batuan sedimen yang berasal dari zaman Jurasik Akhir, sekali gus memberikan anggaran bahawa ia mungkin wujud sejak lebih 100 juta tahun yang lalu.

“Ia sangat luar biasa untuk menjumpai tulang rusuk yang lengkap seperti ini. Biarkan rangka ini diletakkan pada kedudukan asalnya bagi mengekalkan posisi anatomi asalnya.

“Penemuan ini mengesahkan bahawa kawasan Pombal memiliki rekod fosil yang penting bagi vetebrata era Jurasik Akhir.

“Penemuan bahan palaeontologi yang banyak sejak beberapa dekad kebelakangan ini telah memberikan hasil penemuan yang memberangsangkan.

“Terutamanya, pengetahuan mengenai fauna-fauna purba yang pernah mendiami Semenanjung Iberia kira-kira 145 juta tahun yang lalu,” katanya kepada Phys.org seperti yang dilapor Metro UK.

Disebabkan ia rangka lengkap yang ditemui dalam keadaan semula jadi buat pertama kali, penyelidik berharap penggalian seterusnya boleh mempermudahkan lagi urusan mereka dalam mendedahkan lebih banyak bahagian bagi dinosaur sama.

Maklumat mengenai dinosaur spesies Saurapod brachiosaurid.

Gambar hiasan | Kredit: Science.org

Untuk rekod, Saurapod brachiosaurid dipercayai merupakan kumpulan dinosaur terbesar di dunia dan menjadikannya sebagai haiwan daratan paling besar yang pernah mendiami Bumi.

Selain itu, spesies dinosaur itu memiliki ketinggian kira-kira 12 meter dan panjangnya pula dalam anggaran 24 meter. Dengan saiznya yang bersifat gergasi, ia sekali gus menjadikannya sebagai dinosaur yang terbesar ditemui di benua Eropah.

Walaupun saiznya agak menggerunkan, spesies sauropod seperti (sub-spesies) brontosaurus dan diplodocus merupakan haiwan herbivor. Haiwan purba ini memiliki leher yang panjang dan berjalan dengan menggunakan empat kaki.

Sumber: Metro UK