Seorang wanita dilaporkan maut selepas terjatuh ketika menaiki permainan rollercoaster di Perancis.
Mangsa yang berusia 32 tahun itu difahamkan sedang menaiki permainan rollercoaster dan secara tiba-tiba dia telah tergelincir dan terpaksa berpaut pada bar keselamatan, dakwa saksi.
Menurut Metro.UK, suami kepada mangsa berkenaan cuba untuk mencapai kakinya namun dia gagal untuk menyelamatkan isterinya itu.

Seorang saksi yang bernama Farida memaklumkan kepada sebuah laman web berita Perancis: “Ketika anak-anak saya mahu menaiki permainan karusel, kami terdengar jeritan, kemudian saya ternampak ada seorang wanita terjatuh.
“Dia berjaya berpaut pada bar keselamatan itu sementara suaminya cuba mencapai kakinya.”
Saksi lain menambah: “Kami juga ternampak terdapat kanak-kanak yang ketakutan dan menangis. Ada yang berada di puncak ketika korsel tersebut berhenti.”
Menurut media tempatan, mangsa berada di taman tema itu bagi meraikan hari lahir anaknya bersama dengan kakak, ibu serta suaminya.

Pihak pengurusan Parc Saint-Paul dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh the Sun menyatakan: “Kawasan taman tema itu telah ditutup sepenuhnya untuk pengunjung.
“Beberapa pasukan petugas telah dikerahkan untuk membantu pengunjung dan keluarga yang terkesan.
Insiden yang melibatkan seseorang tercedera atau maut di taman tema ini bukanlah kali pertama pernah terjadi.
Menurut Metro.UK, seorang wanita yang berusia 35 tahun pernah dilaporkan maut di taman tema sama pada tahun 2009 manakala 15 lagi tercedera apabila permainan rollercoaster Nacelle mengalami masalah teknikal pada tahun 2005.
Sumber: Metro.UK