Seorang antivaksin di Biella, Itali yang enggan menerima vaksin COVID-19 ditahan polis semalam selepas ‘terkantoi’ memakai lengan palsu untuk disuntik, lapor Daily Mail.
Tindakan lelaki berusia 50 tahun yang menipu itu disedari doktor di klinik tempat pemberian vaksin tersebut sebelum satu laporan dibuat kepada pihak polis.
Difahamkan, segalanya terbongkar apabila doktor yang bertugas menyedari tekstur lengan lelaki itu diperbuat daripada silikon dan berbeza dengan lengan sebenar.
Malah ketika itu, lelaki tersebut cuba meyakinkan doktor agar terus menyuntik vaksin ke ‘lengannya’, namun penipuannya ternyata sia-sia.
Hal tersebut kerana doktor dapat mengecam bahawa ‘lengan’ itu adalah palsu, biarpun ton warna ‘kulitnya’ seakan sama dengan lengan sebenar.
Selain itu, lelaki tersebut juga ada bertanyakan kepada pengikutnya di laman Twitter miliknya tentang bagaimana untuk mendapatkan sut silikon badan lelaki, termasuklah lengan dan leher palsu untuk janji temu (vaksin) tersebut.
Difahamkan, dia bertindak menipu sedemikian kerana didakwa mahu mendapatkan Green Pass, iaitu sejenis pas digital pengesahan lengkap divaksinasi (seakan sijil digital Mysejahtera).
Bagi sesiapa yang memiliki Green Pass, mereka dibenarkan untuk menikmati pelbagai kemudahan awam seperti makan secara ‘dine in’ di restoran, memasuki pawagam, muzium, acara sukan dan sebagainya.
Sumber: Daily Mail