Sedar tidak sedar, sudah lebih setahun rasanya kita hidup dan bernafas sambil ‘bergelumang’ dengan wabak COVID-19. Terlalu banyak pihak yang terjejas termasuklah institusi pendidikan, perniagaan, perkilangan dan sebagainya.
Dalam masa sama, sektor pelancongan juga tidak kira ‘sakitnya’. Kita sendiri boleh lihat satu persatu syarikat agensi pelancongan tempatan terpaksa gulung tikar akibat tiada sebarang tempahan melancong. Apakan daya, rentas negeri pun tidak boleh, inikan pula rentas negara.
Bercerita soal pelancongan tempatan, antara yang turut terkesan ialah mereka yang mencari rezeki sambil mempromosi warisan tradisi tempatan kepada pelancong luar, tidak lain tidak bukan ialah pengayuh beca.
Rasanya semua faham kan, beca ini sedang perlahan-lahan menuju ke ‘penghujung usianya’. Secara umumnya tidak ramai pengayuh beca daripada kalangan orang muda, rata-ratanya adalah mereka yang ‘sebaya’ dengan beca tersebut.
Jadi apabila dunia sektor pelancongan tempatan lumpuh, merekalah yang paling terkesan. Masakan tidak, jika beca dijadikan sebagai kenderaan pengangkutan awam, orang awam pasti akan memilih alternatif yang lebih mudah, iaitu e-hailing.
Maka satu-satunya ‘nyawa’ untuk penarik beca ini ‘bernafas’ hanyalah daripada pelancong. Namun begitulah, nampaknya wabak ini telah mengubah segala-galanya. Pengayuh beca di hujung usia terpaksa menghela nafas panjang, mengenang nasib yang entah bagaimana tujunya.
“Nak dapat RM10 pun susah sekarang ni..”
Gambar: Aiman RafiqinBaru-baru ini wartawan portal Kelantan Inside, Aiman Rafiqin sempat turun padang ke sekitar bandar Kota Bharu untuk menemui golongan pengayuh beca yang terkesan dengan kelumpuhan sektor pelancongan di kala pandemik COVID-19 ini.
Melihat suasana jalanan bandar raya itu yang kian sepi dengan kayuhan perlahan si pengayuh beca, Aiman menemui salah seorang daripada mereka iaitu Che Udi Che Pa, pengayuh berusia 65 tahun.
“Musim COVID-19 ini nak dapatkan RM10 pun begitu susah berbanding sebelum ini ada juga dapat RM10 hingga RM20. Paling menyedihkan ada juga yang langsung tiada pelanggan yang menaiki beca.
“Saya reda dengan keadaan sekarang ini, nak buat macam mana inilah rezeki kami yang Allah tentukan. Kalau ada pelanggan yang menaikinya…adalah rezeki kami, kalau tiada tak adalah rezeki kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Che Udi, walaupun ‘terduduk’ kosong di beca menanti pelanggan yang seakan tiada, dia tetap bersyukur kerana masih ada insan-insan berhati mulia tampil menghulur sumbangan makanan dan bantuan kepada mereka.
Baju raya pun tak boleh beli
Gambar: Kelantan InsideSelain itu, tinjauan yang dijalankan Aiman mendapati ramai lagi pengayuh beca di bandar raya itu turut mengeluh bahawa sumber pendapatan mereka makin sukar didapati, dalam masa sama hari raya pula bakal menjelang tiba.
“Nak-nak lagi di musim perayaan ini kadang-kadang baju raya pun tak boleh beli, jenis makanan untuk persediaan raya pun tak dapat (beli) sebab susah. Diorang tengah sedih sangatlah.
“Ada (pengayuh) tu langsung tiada customer, tapi diorang stay juga keluar untuk nak cari sesuap nasi. Kadang-kadang ada pengayuh yang tiada pembeli langsung, pergi kosong balik kosong,” kata Aiman ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.
Difahamkan, ada juga antara pengayuh ini yang memang sanggup berkayuh di bawah panas terik mentari hanya semata-mata untuk menyara seisi keluarga. Tiada pendapatan lain, hanya beca lama, tenaga dan air peluh menjadi modal.
Demikianlah keperitan yang dialami pengayuh beca di sana. Tidak cukup perlu menahan lapar dan dahaga sepanjang seharian berpuasa, mereka juga terpaksa menahan sabar dan sedih atas ujian yang menimpa. Sepenat-penat kaki mengayuh, tenat lagi dada mengeluh.
Minggu depan, Hari Raya Aidilfitri bakal berkunjung tiba. Pada kita, raya kali ini mungkin agak seronok sebab masih dapat bersama keluarga. Baju raya, kuih raya pun sudah siap dibeli. Namun pada mereka, puasa dan raya itu seolah-olah hanya berbeza pada nama saja.
Semoga pengayuh-pengayuh beca di sana terus tabah mendepani hidup. Ramadan akan berakhir. Dalam tempoh singkat ini, marilah kita sama-sama mendoakan agar semua pengayuh beca, peniaga jalanan dan segalanya dimurahkan rezeki oleh-Nya. Amin.
Sumber: Aiman Rafiqin daripada Kelantan Inside