
Najwa Latif, Suami Timang Cahaya Mata Pertama
Penyanyi lagu Cinta Muka Buku yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu, Najwa Latif atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif, kini bergelar ibu apabila selamat melahirkan seorang bayi, semalam.
Berita gembira itu dikongsi oleh suaminya yang juga seorang penyanyi, Akwa Arifin menerusi laman Instagram miliknya.
“Alhamdulillah, Najwa dan saya berbesar hati ingin kongsikan berita kelahiran anak kami pada 11 November 2025. Tarikh istimewa ini juga merupakan ulang tahun perkahwinan kami yang ketiga.
“Doakan yang baik-baik untuk kami dan semoga semua doa kalian buat kami dibalas dengan lebih lagi, insyaAllah,” ucap penyanyi berkenaan.
Setakat ini, artis berkenaan tidak mendedahkan jantina dan nama bayi yang baru dilahirkan itu.
Berikutan pandemik yang melanda negara ketika itu, Najwa dan suaminya mendirikan rumah tangga pada tahun 2022 dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.
Majlis yang diadakan di Batu Pahat, Johor itu menyaksikan ikatan pernikahan mereka disimpul dengan sekali lafaz.
Tampil berbusana serba putih, Najwa dan suami kelihatan tersenyum gembira menerusi gambar pernikahan yang dimuat naik sehari selepas majlis diadakan.
“Alhamdulillah, kami dah grad,” ucapnya menerusi muat naik di laman Instagram itu.
Menelusuri kerjayanya dalam bidang hiburan, artis kesayangan ramai ini pernah menerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi MACP pada 2016 berikutan pernah menghasilkan lagu-lagu hit, antaranya Carta Hati, Kosong, Untuk Dia, Ada Mu dan Sahabat.
Sementara itu, Najwa juga pernah tercalon dalam beberapa anugerah berprestij tanah air termasuk Anugerah Planet Muzik.
Biarpun dikenali sebagai seorang artis, Najwa turut mempunyai kerjaya sebagai seorang pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil.
Graduan bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu menerima tajaan biasiswa penuh ketika menuntut di UNITAR.
Sumber: Akwa Arifin