
Najib Tiba Di Mahkamah, Mohon Keputusan Hukuman Penjara Dan Denda Disemak Semula
Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak dan petugas-petugas media dilihat sudah mulai berkumpul di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya bagi mengikuti perkembangan prosiding mahkamah.
Mahkamah Persekutuan hari ini akan mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi semakan semula keputusan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Menurut Bernama TV, kenderaan Jabatan Penjara yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya pada pukul 8.45 pagi tadi.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari 23 Ogos lalu.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata selepas meneliti bukti, hujahan dan rekod-rekod rayuan, adalah didapati rungutan perayu sepertimana terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.
“Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan.
Oleh itu rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan,” kata beliau.
Sumber: BERNAMA