
Naik Taraf Sistem Semboyan, Beberapa Stesen LRT Ditutup Sementara
Pengendali perkhidmatan pengangkutan awam rel, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengumumkan beberapa stesen Rapid KL ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada aktiviti menaik taraf sistem semboyan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang rasmi Rapid KL, beberapa stesen di laluan LRT Kelana Jaya ditutup bermula jam 6 pagi sehingga 9 pagi, berkuat kuasa pada Sabtu dan Ahad.
“Kerja naik taraf ini bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan, kebolehpercayaan operasi dan mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya,” maklum syarikat berkenaan.
Stesen terlibat kerja naik taraf merupakan stesen Lembah Subang, Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum, Bangsar, dan KL Sentral. Begitu juga stesen Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Sebagai alternatif, RapidKL menyediakan perkhidmatan bas dan van perantara percuma yang menghubungkan stesen berkenaan.
“Perkhidmatan bas dan van perantara percuma disediakan dengan kekerapan setiap 10 hingga 15 minit, tertakluk kepada keadaan trafik semasa,” katanya lagi.
Syarikat berkenaan turut menyenaraikan lokasi tempat menunggu bagi penumpang yang ingin menggunakan kedua-dua perkhidmatan ini.

Sementara itu, penumpang juga digalakkan menaiki tren di beberapa stesen alternatif terdekat.

Para penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat berkenaan perkhidmatan bas perantara di laman https://gokelah.com/transport/bus/city-bus/gokl-city-free-bus/.
RapidKL turut memaklumkan bahawa perkhidmatan mesin tiket (TVM) di semua laluan berkenaan turut ditutup buat semantara waktu.
“Walau bagaimanapun, penumpang masih boleh mendapatkan token secara manual melalui kaunter Khidmat Pelanggan yang akan beroperasi seperti biasa bagi memudahkan urusan pembelian tiket,” tambahnya lanjut.
Sumber: RapidKL