Kredit: Bangkok Post

Naik Lori Lama Ke Perlawanan, Kejayaan Pasukan “Underdog” Mon Thong Wittaya Jadi Fenomena

Athirah

Naik Lori Lama Ke Perlawanan, Kejayaan Pasukan “Underdog” Mon Thong Wittaya Jadi Fenomena

Sebuah pasukan bola sepak dari Sekolah Mon Thong Wittaya, Thailand, menjadi tumpuan apabila berjaya mara ke final 7HD Champion Cup 2025 yang berlangsung di Stadium Suphachalasai, Bangkok pada 8 November lalu.

Menurut portal Bangkok Post, kejayaan dalam kejohanan bola sepak remaja berprestij itu bukan sahaja menarik ribuan penyokong hadir memberi sorakan kepada pemain dan jurulatih, malah turut memikat hati rakyat Thailand.

Dalam masa sama, pencapaian pasukan “underdog” berkenaan turut mencetuskan fenomena di media sosial.

Sekolah Mon Thong Wittaya, iaitu sebuah sekolah komuniti di tambon Mon Thong, daerah Bang Nam Priao menempatkan kira-kira 500 pelajar di 15 bilik darjah.

Presiden kelab bola sepak sekolah, Sumet Ridmat, berkata komuniti itu sudah lama dikenali dengan pencapaian sukan, sekali gus mendorong penubuhan pasukan bola sepak sekolah.

Hasilnya, terbentuk pasukan tujuh pemain yang diketuai kapten, Worakorn “Te” Changkhiandee dan dilatih oleh Sakon Kliangprasert sejak 2021.

“Dream carrier” membawa impian pasukan itu

Kisah luar biasa pasukan itu bermula dari sebuah lori lama berwarna biru yang digelar ‘dream carrier’, membawa pemain dari Mon Thong, Chachoengsao ke Bangkok.

Lori terbuka milik jurulatih Sakon Kliangprasert telah diubah suai dan digunakan bertahun-tahun oleh pasukan sekolah menengah, termasuk pasukan Mon Thong Wittaya.

“Kereta ini mempunyai sejarah panjang, sesiapa yang menaikinya lebih cenderung untuk memenangi kejohanan,” kata Sakon.

Dalam perlawanan akhir pada 8 November lalu, pasukan Mon Thong Wittaya bertemu Chai Nat Provincial Administrative Organisation School.

Selepas menewaskan Assumption College Sri Racha 6–3 di separuh akhir, mereka tiba di Bangkok disambut ribuan penyokong.

Difahamkan, stadium 20,000 tempat duduk itu dipenuhi melebihi kapasiti, malah ada penyokong terpaksa menonton perlawanan dari trek larian.

Pasukan itu menerima banyak tawaran bantuan

Menurut portal Bangkok Post, pasukan Mon Thong Wittaya, yang digelar “giant killer” telah menjadi kegemaran ramai di media sosial.

Aksi penuh dramatik itu menyaksikan Mon Thong Wittaya tewas tipis 1-2, menamatkan kejohanan selaku naib juara 7HD Champion Cup 2025.

Selepas kejohanan, banyak tawaran bantuan diterima, termasuk dalam pembangunan pasukan dan pengubahsuaian sekolah.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Kapten Thamanat Prompow menyumbangkan biasiswa pendidikan bernilai 150,000 baht (kira-kira RM19,208) dan 10 bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif Thai Smile Bus (TSB), Kulpornpath Wongmajarapinya turut menghadiahkan sekolah sebuah bas elektrik bagi menggantikan ‘dream carrier’ lama mereka.

BACA: Bot Hanyut Masuk Perairan Negara Jiran, Cara Polis Singapura Tegur Pemancing Ini Buat Ramai Terkejut

Sumber: Bangkok Post