Kredit: Bernama

Nahas Babit Tiga Kenderaan: Pelajar Kolej Vokasional Maut Digilis Kenderaan Berat

Hannah

Nahas Babit Tiga Kenderaan: Pelajar Kolej Vokasional Maut Digilis Kenderaan Berat

Seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia dalam sebuah nahas yang membabitkan tiga buah kenderaan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Telok Gong, Klang, pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Difahamkan, mangsa yang juga merupakan pelajar kolej vokasional disahkan maut akibat digilis oleh sebuah kenderaan berat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, menyatakan bahawa mangsa yang merupakan penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurut beliau, kemalangan yang berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu melibatkan dua motosikal dan sebuah kenderaan berat yang masih belum dikenal pasti.

Kedua-dua motosikal tersebut bergerak dari arah bertentangan dan bertembung di tengah jalan.

“Akibat daripada pertembungan itu, mangsa telah tercampak di atas jalan raya dan digilis sebuah kenderaan berat.

“Sementara itu seorang lagi penunggang motosikal berusia 20 tahun yang mengalami cedera parah telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis masih dalam usaha mengesan kenderaan berat yang terlibat.

Hal ini dikatakan demikian kerana pemandunya dipercayai tidak menyedari bahawa dia telah melanggar mangsa.

Dalam pada itu, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan di talian 03-33722222,” katanya.

BACA: Derita Dementia, Isteri Tak Sedar Suami Rentung Di Halaman Rumah

BACA: Dilapor Hilang, Mayat Remaja Perempuan Ditemui Tragis

BACA: Bekas Pegawai Tentera Laut Ditahan, Didakwa Menyamar Jadi ‘Doktor Palsu’

Sumber: Sinar Harian