nadma bawa radar khas
Gambar: BERNAMA

Nadma Bawa Radar Khas Kesan 9 Lagi Mangsa Dalam Tanah

Nurhanis

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membawa satu unit alat Ground Penetrating Radar ke lokasi dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan sembilan lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang diteruskan hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Nor Azam Khamis, alat tersebut adalah bagi membantu usaha mengesan mangsa di dalam tanah menerusi refleks gelombang.

“Ground Penetrating Radar digunakan untuk kesan mangsa tanah runtuh Batang Kali yang dikhuatiri tertimbus,” katanya memetik Bernama.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut meminta waris mangsa tragedi tanah runtuh untuk pergi ke Hospital Sungai Buloh bagi membantu proses pengecaman mayat.

“15 mayat telah diserah kepada waris, sembilan masih berada di Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” kata Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah.

“PDRM memohon kepada waris, keluarga dan rakan-rakan yang mengetahui mengenai maklumat mangsa untuk pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman dan mengenal pasti mayat,” ujarnya.

Difahamkan, operasi SAR itu disambung pada 9 pagi ini melibatkan sejumlah anggota daripada lima agensi yang dibenarkan menyertai operasi tersebut selain khidmat anjing pengesan.

Sumber: BERNAMA