Gambar: Bernama

MySejahtera: Kerajaan Tak Pernah Jual Kepada Mana-Mana Syarikat Swasta – KJ

Sofea

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima aplikasi itu.

Menerusi kenyataan media, Khairy berkata pihak kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

Syarikat tawar penggunaan MySejahtera berdasarkan prinsip CSR

Menurutnya, ia adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.

Katanya lagi, kerajaan pada 31 Mac 2021 bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan setelah tamat tempoh CSR tersebut.

Dalam kenyataan itu, Khairy juga berkata keputusan kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan.

Ia bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan.

BACA JUGA: Ini Cara Untuk Pindahkan Data MySejahtera Di Nombor Telefon Lama Ke Nombor Baharu

Sementara itu, permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Februari 2022.

Proses rundingan tersebut dikatakan telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan.

Data di bawah penyeliaan KKM

Tegas Khairy lagi, data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan.

“Segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM,” katanya.

Tambahnya, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematahui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

Disebabkan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai status pemilikan MySejahtera yang didakwa telah dimiliki oleh syarikat swasta.

Sumber: @Khairykj