MyDIGITAL, MADA dan Toshiba Bekerjasama Memacu Pertanian Pintar di Malaysia
Tiada Kategori

MyDIGITAL, MADA dan Toshiba Bekerjasama Memacu Pertanian Pintar di Malaysia

Siti Sakinah

MyDIGITAL, MADA dan Toshiba Bekerjasama Memacu Pertanian Pintar di Malaysia

PETALING JAYA, 4 Julai 2025 – MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dan Toshiba Digital Solutions Corporation secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) tiga hala strategik bagi mentransformasi sektor pertanian Malaysia melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi digital terkini.

MoU ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Malaysia ke arah pertanian pintar. Dengan mengintegrasikan Data Ramalan Cuaca canggih daripada Toshiba ke dalam projek utama MADA iaitu Projek Ladang Padi IR4.0 (Pintar4U), kerjasama ini bertujuan untuk memperkenalkan amalan pertanian berasaskan ramalan data bagi meningkatkan kecekapan membuat keputusan, mengoptimumkan hasil tuaian, dan memperkukuh daya tahan terhadap ketidaktentuan iklim.

Penggunaan Perkhidmatan Data Cuaca Toshiba (TWDS) dijangka dapat mempertingkat pengurusan tanaman padi melalui ramalan cuaca yang lebih pantas dan tepat. Ini membolehkan keputusan tepat berkaitan aplikasi racun perosak dan baja dibuat berdasarkan data cuaca masa nyata untuk 10, 20 dan 30 minit akan datang, membantu petani menyesuaikan operasi mengikut perubahan cuaca.

MADA juga merancang untuk menggabungkan data TWDS dengan input daripada stesen cuaca di tapak dan teknologi ramalan jangka panjang untuk membangunkan Model Ramalan Hasil. Gabungan ini berpotensi besar untuk meningkatkan prestasi hasil tanaman berbanding kaedah tradisional.

Berdasarkan kajian di Jepun, Vietnam dan laporan oleh FAO, intervensi ramalan cuaca dalam penanaman padi telah menunjukkan:

 Peningkatan hasil bersih sebanyak 7–10% hasil daripada pengurangan kerugian tanaman akibat cuaca tidak menentu.

 Penjimatan kos operasi sebanyak 5–12% melalui pengoptimuman penggunaan input dan pembahagian masa kerja serta jentera yang lebih baik.Page 2 of 3

 Peningkatan keuntungan bersih sekitar 10–15% berbanding amalan biasa (BAU).

Walaupun inisiatif ini masih dalam fasa perintis, MADA akan melaksanakan kajian bukti konsep (proof of concept) di tapak PPSB Bohor A (seluas 42.322 hektar) untuk menilai hasil tanaman sebenar, kecekapan kos dan penjimatan input sebelum dan selepas pelaksanaan TWDS.

Inisiatif ini turut melibatkan peranan aktif Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), yang diinkubasikan di bawah MyDIGITAL, untuk menerajui penggunaan AI merentas sektor utama. Sebagai antara projek penyelarasan awal NAIO, kerjasama ini mencerminkan mandat strategik NAIO dalam menyelaraskan penyelesaian digital dengan keutamaan negara. NAIO akan memudah cara kerjasama ini, memantau pelaksanaan, dan memastikan teknologi ini memberi impak yang nyata kepada sektor pertanian sambil memperkukuh keupayaan digital negara.

Majlis menandatangani MoU ini telah disaksikan oleh Tuan Shakib Ahmad Shakir bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik & Pengurusan) Kementerian Digital, dan Dato’ Seri Norazman Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan, sekali gus melambangkan sokongan pelbagai pihak berkepentingan terhadap kerjasama ini.

Pintar4U merupakan komponen strategik dalam aspirasi Malaysia untuk memperkukuh sistem agro-makanan negara. Kerjasama ini menyokong objektif nasional di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital dan Dasar 4IR dengan memupuk kerjasama rentas sempadan, memperkasakan pembangunan kapasiti digital, dan meningkatkan taraf hidup para petani melalui penggunaan teknologi yang mampan.

MoU ini menetapkan kerangka kerjasama selama setahun, dengan pembaharuan automatik dan ruang untuk perjanjian pelaksanaan tambahan pada masa hadapan.

Kerjasama ini mencerminkan kepimpinan Malaysia yang semakin menyerlah dalam penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab. Ia menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama pihak awam-swasta boleh mentransformasikan sektor pertanian, meletakkan petani sebagai pusat inovasi, serta memastikan sistem makanan kekal berdaya tahan, inklusif, dan bersedia untuk masa hadapan.