Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) memaklumkan bahawa musim kemarau di wilayah Asia Tenggara termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Malaysia dan selatan Thailand telah pun bermula, lapor Utusan.
Menurut ASMC, keadaan itu berkemungkinan akan berlanjutan hingga Oktober 2022 nanti.
Dalam pada itu, musim kemarau tersebut dikaitkan dengan permulaan Monsun Barat Daya.
“Fenomena cuaca La Niña di Lautan Pasifik khatulistiwa diramalkan akan terus melemah, dan dijangka kekal tidak berubah sepanjang tahun ini,” kata ASMC dalam satu kenyataan.
Memetik laporan Utusan, hujan lebat juga dijangka akan berlaku antara Julai dan Oktober 2022 kesan daripada fenomena iklim La Nina dan fasa negatif Dipole Lautan Hindi (IOD).
Bagaimanapun, ASMC juga memberi amaran bahawa masih terdapat risiko kebakaran dan jerebu ketika cuaca kering dan panas yang berpanjangan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
Berikutan itu, ASMC menggesa rantau ini untuk terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mengurangkan kejadian kebakaran hutan.
Pusat itu juga menjangkakan bahawa keadaan jerebu tahun ini tidak akan seburuk seperti 2015 dan 2019.
Terdahulu, Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) telah memaklumkan bahawa fenomena La Nina diramal akan berlarutan sehingga bulan Ogos atau mungkin sehingga musim luruh dan permulaan musim sejuk.
Ramalan jangka panjang yang dijalankan oleh pertubuhan itu juga mendapat bahawa fenomena tersebut mungkin akan berterusan sehingga tahun 2023.
Jika keadaan tersebut benar-benar berlaku, ia akan menjadi fenomena La Nina tiga kali ganda lebih buruk sejak tahun 1950.
BACA: Fenomena La Nina Diramal Akan Berlarutan Hingga 2023 – Pertubuhan Meteorologi Sedunia
Sumber: Utusan