
Murid Tahun Enam Lemas Terjatuh Dalam Lombong
TANGKAK, 25 Okt (Bernama) — Seorang murid tahun enam ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Kampung Penchu Kundang Ulu, di sini petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Pegawai Bomba Kanan I Johar Tumin berkata mangsa Siti Nur Khadijah Ahmad Faisal, 12, berjaya ditemukan pasukan penyelamat pada 3.10 petang.
“Operasi mencari Siti Nur Khadijah dibuat menggunakan kaedah pencarian permukaan dan peralatan khas di lombong sedalam kira-kira dua meter itu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada 2.19 petang sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari BBP Bukit Gambir digegaskan ke lokasi kejadian.
Operasi tamat sepenuhnya pada 3.43 petang.
Sumber: Bernama