Seramai empat orang pegawai polis di Washington DC dilaporkan telah digantung kerja setelah mereka terlibat dalam perlumbaan menggunakan kereta peronda sehingga berlakunya kemalangan.
Menurut The Washington Post, keempat-empat pegawai itu juga mengalami kecederaan dan dirawat di hospital.
Polis mengatakan bahawa kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk dalam kejadian pada Khamis minggu lalu itu.

Jurucakap polis DC, Dustin Sterbeck, mengatakan bahawa Hal Ehwal Dalam Negeri sedang menyiasat nahas itu yang berlaku pada waktu petang di Anacostia Avenue NE, berhampiran Taman Kenilworth dan Taman Akuatik.
“Semua pegawai-pegawai itu diberikan status ‘noncontact’ yang bermaksud mereka tidak dibenarkan untuk berinteraksi dengan orang ramai semasa siasatan.

“Nampaknya mereka mungkin berlumba dan mengakibatkan kemalangan,” katanya.
Datuk Bandar, Muriel E. Bowser pula meminta agar siasatan dilakukan untuk menentukan tindakan disiplin.
“Mereka membahayakan nyawa orang awam, mereka perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.
Sumber: The Washington Post