Beruang koala merupakan antara haiwan yang banyak terkorban dalam kebakaran dasyat di Australia. Pun begitu, banyak juga koala yang berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan.
Seperti yang dikongsikan oleh portal 9News, seekor beruang Koala yang dikenali sebagai Cuddles telah berjaya diselamatkan dan diawasi oleh doktor haiwan sukarelawan di Mallacoota, Victoria. Koala ini pada awalnya ditemui terkandas bersendiri di pusat bandar.
Namun, mujurlah koala itu tidak mengalami kecederaan secara fizikal akibat daripada kebakaran itu. Ketika ditemui, koala ini diberikan penjagaan rapi seperti diberikan makan serta diurutkan kepalanya.

Setelah menjalani proses pemulihan dengan sebaiknya, Cuddles perlu dibebaskan ke dalam habitatnya untuk meneruskan hidupnya. Apabila tiba masa untuk dilepaskan, nampaknya haiwan itu belum benar-benar bersedia untuk kembali ke ‘rumahnya’.

Koala tersebut telah dibawa pulang dan doktor haiwan mengesahkan akan tetap memberi penjagaan kepadanya sehingga benar-benar bersedia untuk dilepaskan.
Sumber: 9NEWS