Seorang lelaki di Singapura terpaksa berusaha keras untuk mengembalikan wang kertas bernilai S$2 (RM 6.21) yang dijumpainya kepada seorang pekerja migran yang tercicir ketika sedang mengayuh basikalnya, lapor Mothership.
Kejadian itu berlaku pada 25 April dan telah dikongsikan di TikTok oleh @ansonlaoshi.
Anson menyatakan bahawa dia sedang dalam perjalanan untuk berjoging semasa dia menjumpai wang kertas tersebut. Dia kemudiannya terus merasakan bahawa wang berkenaan milik pekerja migran yang sedang berbasikal itu.
Tanpa melengahkan masa, Anson telah mengejar lelaki itu.
Anson bertekad untuk mengembalikan wang tersebut kerana “ianya mungkin hasil daripada usaha kerasnya”, tulisnya dalam kapsyen video tersebut.
Pada satu ketika, Anson hampir kehilangannya ketika mereka sedang menghampiri persimpangan lampu isyarat.
Pun begitu, pekerja migran tersebut berjaya ditemui tidak lama kemudian.
Untuk menarik perhatian lelaki itu, Anson menjerit, “Brother!” dan “Bang!”.
Akhirnya, lelaki tersebut menghentikan basikalnya.
Anson kemudiannya memberikan wang kertas tersebut dan memaklumkan kepada lelaki itu bahawa dia telah menjatuhkan wangnya.
Pekerja migran itu kemudiannya terus memeriksa poket bajunya, dan mengakui bahawa itu adalah wangnya.
Sumber: Mothership