Serangan virus Covid-19 tidak dinafikan memang boleh membawa maut dan kepada mereka yang dijangkit, mungkin akan menerima kesan yang berpanjangan. Bukan sahaja golongan dewasa dan warga emas, kanak-kanak juga boleh berlaku kesan jangka panjang Covid-19.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan, Multi System Inflammatory (MIS-C) merupakan salah satu komplikasi serius berlaku kepada kanak-kanak akibat dari jangkitan Covid-19. Ia menyebabkan berlakunya keradangan pelbagai organ terutamanya jantung, paru-paru dan otak.
Maklum KKM, meskipun ia jarang berlaku tapi MIS-C ini boleh menyebabkan kematian.
“Di antara Jun 2020 hingga Disember 2021, 174 kes MIS-C yang dikenal pasti oleh MIS-C Malaysia Study Group.
“Majoriti memerlukan rawatan kritikal di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), manakala tujuh kes (4%) telah disahkan meninggal dunia.
“57 peratus daripada kes MIS-C terjadi dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun,” kata kementerian tersebut hari ini.
KKM turut berkongsikan melalui laman Facebook simptom MIS-C yang berkait dengan jangkitan Covid-19 yang berlaku kepada kanak-kanak setelah beberepa minggu dijangkiti (gambar rajah di bawah).
“Perhatikan simptom-simptom ini yang menunjukkan perlunya dirujuk kepada pakar klinikal atau dihantar ke hospital,” tambahnya.
“KKM menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak-anak yang berumur 5 hingga 11 tahun dengan segera.
“Vaksin Pfizer untuk kanak-kanak menggunakan formulasi yang selamat dan dos yang bersesuaian untuk kanak-kanak di lingkungan umur ini,” jelas KKM.
KKM sekali lagi menyeru rakyat Malaysia untuk mendapat vaksin Covid-19 untuk anak-anak mereka yang berumur 5 hingga sebelas tahun dengan segera.

Sumber: KKM