
Muliakan Ibu, Semua Pemain Maghribi & Mak Masing-masing Dapat Keraian Diraja Di Istana
Selepas dijemput ke istana dan diberikan keraian sewajarnya, Raja Magribi kemudiannya mempersilakan semua pemain kebangsaan beserta ibu masing-masing untuk bergambar dalam satu sesi kenang-kenangan.
Gambar berkenaan pantas menjadi viral di seluruh dunia dan menarik perhatian netizen. Apatah lagi, pemain-pemain Maghribi sebelum ini mempamerkan ikatan kekeluargaan yang kuat dengan ibu masing-masing di sepanjang kejohanan Piala Dunia.
Foto Achraf Hakimi yang mencium dahi ibunya serta Soufyan Amrabat menari bersama ibunya di atas padang selepas tamat perlawanan menyaksikan ia menjadi topik utama di dada-dada akhbar seluruh dunia sebelum ini.
Karima Al Khannous, ibu kepada salah seorang pemain kebangsaan Maghribi, Bilal El Khannous berkata bahawa Raja meminta para pemain untuk membawa ibu-ibu mereka ke majlis keraian tersebut.
“Biasanya, kami (ibu-ibu) akan duduk di rumah sahaja, tetapi Tuanku menegaskan bahawa ibu-ibu kepada para pemain juga harus menghadiri majlis tersebut,” katanya kepada media Belgium.

Selain keakraban dan kasih sayang yang ditunjukkan, prestasi mengagumkan Maghribi juga menjadi topik utama perbincangan komuniti bola sepak.
Pasukan bola sepak yang menduduki ranking ke-22 dunia telah berjaya merangkul tempat keempat dalam Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar. Ia menjadikan Atlas Lion sebagai negara Muslim-Afrika pertama yang mara ke peringkat separuh akhir.
Walaupun peluang untuk melangkah lebih jauh terhenti di tangan Perancis, pencapaian dan rekod yang dicatatkan oleh skuad ini adalah antara kisah menarik yang disajikan dalam Piala Dunia kali ini.
BACA: Walau Kalah & Gagal Ke Final, Pemain Maghribi Tetap Sujud Tanda Syukur Pada Yang Maha Esa
Sumber: Global Village Space