Muhyiddin Umum Letak Jawatan Pengerusi PN
Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Perkara itu dimaklumkan oleh beliau sendiri menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kenyataan tersebut, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan penuh yang diberikan sepanjang tempoh lima tahun beliau menerajui gabungan itu sejak penubuhannya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan serta semua parti komponen PN dalam meneruskan perjuangan dan hala tuju gabungan berkenaan.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti anggotanya,” ujar beliau lagi.
PN memerlukan nafas dan momentum baharu
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari telah memaklumkan hasrat Muhyiddin untuk meletakkan jawatan menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Langkah tersebut dilihat sebagai keputusan yang tepat dan strategik memandangkan Perikatan Nasional memerlukan nafas serta momentum baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya yakin Pas akan menampilkan calon dari parti ini untuk menerajui PN sebagai Pengerusi yang baru
“Tidak semestinya Presiden Parti tetapi seorang individu yang diyakini boleh mengembeling kekuatan parti-parti yang ada di bawah PN
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi Perikatan Nasional bagi memberikan fokus yang lebih kepada gerak kerja selepas ini,” katanya.
Bagaimanapun belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu setakat ini.
“Tahniah Tan Sri Muhyidin Yasin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja Pengerusi Perikatan Nasional yang baru,” tambahnya lagi.
Sumber: Muhyiddin Yassin, Fadhli Shaari