Hampir setahun negara kita dilanda wabak pandemik Covid-19 dan hari demi hari kes semakin meningkat. Begitu besar pengorbanan pihak kerajaan dan barisan hadapan bertungkus lumus memastikan rakyat dijaga dan dilindungi dengan penyakit yang berbahaya ini.
Saban hari kita sering dengar di media dan dada akhbar tentang kematian Covid-19 yang berterusan berlaku. Jenazah yang meninggal akibat Covid-19 diuruskan oleh barisan hadapan dan tidak boleh diuruskan oleh ahli keluarga atau sahabat. Ini kerana untuk mengelakkan virus mudah dijangkiti dan merebak secara berleluasa.
Kematian Covid-19 yang melibatkan pengebumian jenazah telah menjadi satu perkara yang dibahaskan di suatu tempat di mana jenazah telah ditolak berkali-kali untuk dimakamkan. Warga setempat menghalang pemakaman kerana terlalu takut akan penularan virus melalui pemakaman jenazah tersebut.
Jadi, untuk menyelesaikan keadaan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan menjelaskan berkaitan dengan hal pengebumian jenazah Covid-19.
Soalan:
Assalamualaikum wrm. wbt.,
Saya ada dengar berlaku di suatu tempat jenazah pesakit yang meninggal akibat Covid-19 ditolak berkali-kali untuk dimakamkan. Warga setempat menghalang pemakaman kerana terlalu takut akan penularan virus melalui pemakaman jenazah tersebut. Apakah hal ini diharuskan?
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Ringkasan Jawapan:
Hukum menolak pengebumian jenazah Covid-19 atas alasan mengelak penyebaran penyakit adalah haram, kerana virus berkenaan tidak boleh merebak melalui tanah perkuburan, dan jenazah pesakit di Malaysia dikafankan dengan mengambil semua langkah berhati-hati, melainkan jika diarahkan oleh pihak berkuasa berdasarkan pertimbangan maslahat dan mafsadah.
Huraian Jawapan:
Hukum mengebumikan jenazah adalah perkara yang diwajibkan ke atas orang Islam secara fardhu kifayah terhadap jenazah orang Islam, selama mana tidak wujud keuzuran daripada mengebumikannya seperti kematian di laut dan sebagainya. Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/249):
“Sunat segera menguruskan jenazah dengan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya. Ulama’ Islam telah berijma’ menyatakan hukum keempat-empat urusan tersebut adalah fardhu kifayah atas kesemua orang Islam di tempat kematian. Jika tidak ada seorang pun di kalangan mereka melaksanakan tugas tersebut, maka berdosalah semuanya.”
Merujuk kepada Garis Panduan Ibadah Bagi Petugas dan Pesakit Covid-19 (ms. 13), medium jangkitan virus Covid-19 ialah melalui droplet (titisan air) pada udara yang disebarkan melalui batuk dan bersin. Begitu juga air kumuran, ludah atau apa-apa basuhan organ yang melibatkan muccous membrane iaitu mulut, hidung dan mata. Debu tanah juga boleh menjadi medium sebaran jika dipakai pada Kelengkapan Pelindung Diri (PPE). Namun begitu, virus Covid-19 boleh dibersihkan daripada permukaan yang tercemar dengan basuhan sabun atau penggunaan pembasmi kuman atau virus seperti sanitizer beralkohol.
Manakala dalam Garis Panduan Tatacara Pengurusan Jenazah Orang Islam (COVID-19) (ms. 17), status jenazah yang mati akibat Covid-19 tidak menghalang kewajiban untuk mengebumikan jenazah seperti hukum asal, sekalipun dilaksanakan dengan oleh kuantiti petugas tidak melebihi 4 orang dan dilakukan di bawah pantauan pihak berkuasa kesihatan. Tambahan lagi, proses pengkafanan mayat dilakukan dengan begitu teliti dan berhati-hati dengan membuat tiga lapisan ke atas mayat bermula dengan balutan linen putih kemudian dibalut dengan dua lapisan beg mayat sebelum disembur dengan semburan nyahkuman.
Kesimpulan
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum menolak pengebumian jenazah Covid-19 atas alasan mengelak penyebaran penyakit adalah haram, berdasarkan alasan berikut:
Virus yang wujud pada badan mayat yang mati akibat Covid-19 tidak boleh merebak melalui tanah perkuburan.
Dalam konteks pengurusan jenazah Covid-19 di Malaysia, jenazah berkenaan telah dikafankan dengan mengambil semua langkah berhati-hati dan diuruskan dengan teliti.
Sekiranya, wujud kes-kes terpencil di mana jenazah tidak dikafankan mengikut prosedur yang telah ditetapkan, mengorek kubur untuk memindahkan jenazah atas alasan takut penyebaran penyakit tidak boleh dilakukan, kerana tiada keperluan, melainkan jika diarahkan oleh pihak berkuasa berdasarkan pertimbangan maslahat dan mafsadah.
Wallahua`lam.
Semoga penjelasan ini memberikan jawapan kepada pihak yang bertanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ mengangkat ujian ini daripada kita dan mengurniakan kekuatan untuk menghadapi ujian ini dengan sebaiknya. Amin.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan