Mufti Pulau Pinang Gesa Konsert Ed Sheeran Dibatalkan
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak kerajaan untuk membatalkan konsert Ed Sheeran yang bakal berlangsung di Malaysia pada 24 Februari ini.
Memetik Sinar Harian, Wan Salim berkata penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) itu amat dikesali olehnya.
Ekoran itu, Mufti Pulau Pinang menggesa kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital agar membatalkan kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut dengan kadar yang segera.
Selain daripada itu, beliau turut meminta agar kementerian itu menghormati pandangan para mufti berkenaan hukum syarak berhubung penganjuran konsert tersebut.
“Sebagai seorang mufti, saya rasa bertanggungjawab untuk menggesa pihak kerajaan Malaysia melalui kementerian terbabit supaya membatalkan segera kebenaran untuk mengadakan konsert tersebut.
“Saya mohon kementerian berkenaan, hormatilah pandangan para mufti yang menyatakan hukum syarak, lebih-lebih lagi larangan terhadap aktiviti LGBT bukan merupakan ijtihad ulama tetapi ia berdasarkan nusus syar’iyyah yang disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan hadis,” katanya hari ini.
Tambahnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang majoriti penduduknya merupakan penganut beragama Islam.
Baginya, Malaysia sepatutnya tidak membuka ruang kepada penganjuran konsert artis yang mendukung amalan maksiat.
Beliau mengatakan bahawa amalan ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, malah ditegah dalam semua agama.
“Sungguh dikesali negara kita membenarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang dikatakan penyokong tegar LGBT.
“Adalah menjadi satu tanggungjawab kerajaan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, surah al-Haj: 41,” katanya.
Kata Wan Salim lagi, setiap Muslim sudah mengetahui bahawa agama Islam menegah segala hubungan sejenis dan tidak boleh disahkan melalui pernikahan.
“Semua agama langit menentang aktiviti LGBT kerana ia membawa negara dan umat ke jurang kemusnahan.
“Justeru, saya meminta seluruh umat Islam di negara ini supaya memulaukan konsert yang dicadangkan itu. Ingat lah umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara (yang membawa kepada) dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran,” tambahnya.
Terdahulu, penyanyi asal United Kingdom, Ed Sheeran bakal mengadakan konsert jelajahnya ‘ − = ÷ ×’ atau ED The Mathematics Tour ke beberapa buah negara Asia, termasuk Malaysia.
Konsert yang bakal berlangsung di Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari ini.
Menerusi hantaran poster konsert berkenaan, seorang lagi penyanyi, Calum Scott juga bakal tampil sebagai artis jemputan.
Untuk makluman, penyanyi ‘Perfect’ telah mengadakan konsert jelajahnya di Asia buat kali kedua. Ed Sheeran mengadakan konsert jelajah ‘Divide World Tour‘ di Asia buat kali pertama pada 2019.
BACA: Ini Cara Mudah Semak Status Permohonan STR 2024
Sumber: Sinar Harian