ALOR SETAR, 31 Dis (Bernama) — Peniaga Islam terutama di Kedah dinasihatkan hanya mendapatkan bekalan daging import daripada pembekal yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengelak mereka menjual daging yang diperoleh daripada sumber diragui.
Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata isu kartel daging yang dibongkarkan baru-baru ini menyebabkan timbul keraguan mengenai status halal daging dalam pasaran dan menjejaskan peniaga.
“Namun mereka boleh mendapatkan bekalan daging halal daripada pembekal yang sah yang dikenal pasti JAKIM supaya mereka dapat membekalkan daging halal kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di Majlis Serahan Zakat syarikat Ayam Bismi tahun 2020 di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan pengguna Islam supaya mengambil berat isu itu dan hanya membeli daging yang diketahui bahawa statusnya adalah halal.
“Garis panduan Islam juga jelas yang mana hadis Rasulullah S.A.W meminta orang Islam meninggalkan perkara yang meragukan dan mengambil sesuatu yang tidak meragukan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan isu kartel daging import yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkusnya semula menggunakan logo halal serta menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.
— BERNAMA