
PUTRAJAYA, 22 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mencuri perhatian ramai apabila menampilkan aset terkini miliknya iaitu Mobile Surveillance Unit (MSU) di reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) sempena Asia International Security Summit & Expo Tahun 2025 (AISSE’25) yang berlangsung selama tiga hari, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bermula 20 Januari lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah memaklumkan, MSU merupakan aset terkini yang digunakan Maritim Malaysia dalam membantu meningkatkan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia.

Jelas beliau lagi, MSU berkeupayaan mengesan setiap aktiviti jenayah maritim, ia sekaligus memperkukuhkan peranan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) dalam mengawal perairan negara.

“Aset ini dilengkapi dengan sistem canggih yang mampu meningkatkan kecekapan operasi penguatkuasaan, terutamanya dalam memantau kawasan perairan yang luas dan mencabar,” jelas beliau.
Selain MSU, pengunjung reruai turut berpeluang melihat dengan lebih dekat aset milik Maritim Malaysia yang lain iaitu jet ski yang digunakan untuk operasi di perairan negara di samping replika kapal, bot dan aset udara.