
MRT Laluan Putrajaya Perlukan Kerja Pembaikan Menyeluruh, Disyaki Akibat Kabel Dicuri
KUALA LUMPUR (Bernama) — Kerja-kerja pembaikan sistem semboyan pada Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya masih giat dijalankan susulan gangguan perkhidmatan sejak Sabtu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan hasil siasatan teknikal mendapati sejumlah besar kabel gentian optik telah dipotong dan dicuri, sekali gus memerlukan kerja pembaikan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil dan selamat.
“Sehubungan itu, tren yang bergerak dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kini dipandu secara manual, menyebabkan kelajuan lebih perlahan dan tren berhenti lebih lama di setiap stesen, dengan kekerapan dijangka setiap 20 hingga 30 minit,” menurut kenyataan itu.
Bagi membantu penumpang, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan antara stesen Kwasa Damansara dan Putrajaya Sentral dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa. Penumpang yang memerlukan bantuan disaran berurusan dengan kakitangan stesen atau polis bantuan bertugas.
Rapid Rail turut menasihatkan penumpang supaya menyemak maklumat terkini melalui laman media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE dari semasa ke semasa.
Orang ramai juga digalakkan merancang perjalanan serta mempertimbangkan pilihan pengangkutan alternatif bagi mengelakkan kelewatan.
“Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Sumber: BERNAMA