
PUTRAJAYA, 4 JULAI – Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (PERODUA) telah menyempurnakan Prapelancaran (soft launch) Asian Compact Sedan Design Challenge (ACSDC) 2023 di Putrajaya petang ini. Pertandingan reka bentuk tersebut merupakan inisiatif MRM dan PERODUA bagi memperkasa industri yang sangat signifikan kepada negara dalam pembuatan reka bentuk automotif sebagai sebuah industri yang sangat penting dan memberi sumbangan besar kepada KDNK dari segi penawaran yang dipacu oleh sektor pembuatan.
Objektif utama pertandingan ini diadakan bagi menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi berkualiti tinggi dalam kalangan pereka serta memastikan sumbangan bernas daripada pihak awam diterima pakai dalam proses reka bentuk industri khususnya automotif. Selain itu, pertandingan ini juga dapat menghasilkan reka bentuk yang bersesuaian dan menepati kehendak PERODUA sebagai salah sebuah syarikat pengeluar kereta nasional.

ACSDC dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori profesional dan kategori pelajar institusi pengajian tinggi. Lebih menarik, pertandingan ini tidak tertumpu kepada penyertaan dalam negara tetapi turut terbuka kepada negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Singapore, Myanmar, Filipina, Cambodia, Jepun, dan Korea
Matlamat utama pertandingan ini dibuka kepada negara-negara berkenaan bagi tujuan perkongsian idea dan identiti terutama dalam aspek budaya antara negara-negara Asia lain yang menyertai pertandingan ini. Dalam masa yang sama, ACSDC secara tidak langsung dapat mempromosikan PERODUA sebagai salah sebuah syarikat pengeluar kereta nasional terbesar di Malaysia selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang mensasarkan negara menjadi pendahulu serantau dalam pembuatan, kejuruteraan teknologi dan kemampanan pembuatan sektor automotif.

MRM merupakan salah sebuah agensi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang telah ditubuhkan pada tahun 1993, matlamat utama MRM adalah untuk membuka peluang serta masa depan industri reka bentuk dan inovasi di Malaysia. MRM bertindak sebagai badan pemikir dan penasihat program-program untuk melonjak kepakaran, keupayaan dan standard reka bentuk industri dalam negara.
MRM telah berusaha untuk mempromosikan penggunaan reka bentuk dan pemikiran minda yang efektif serta berkesan terhadap sektor perniagaan, pendidikan dan kerajaan. Sehingga kini, MRM terus giat berusaha untuk meningkatkan kaedah mereka bentuk dan melonjak kreativiti dalam kalangan pengeluar tempatan. Dengan bimbingan dan saranan daripada MRM, syarikat-syarikat di Malaysia dapat bergerak maju dan menjalin ikatan yang lebih erat dengan penguna melalui peningkatan kepakaran mereka dalam menghasilkan pembuatan produk yang lebih menarik dan berdaya saing. –
