Pembukaan sepenuhnya sempadan negara tanpa kuarantin wajib telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini dan akan dikuatkuasakan bermula 1 Mac 2022.
Menurut Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi sidang media sebentar tadi, keputusan tersebut dibuat selepas mendengar cadangan yang dikemukakan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
“Majlis (MPN) bersetuju supaya sempadan negara dapat dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac 2022 tanpa keperluan untuk kuarantin wajib.
“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko,” jelas Muhyiddin dalam sidang media Mesyuarat MPN hari ini.
Namun begitu, menurut Muhyiddin, individu masih perlu melakukan ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara, seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tambah beliau, pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Manakala maklumat terperinci tentang syarat-syarat tertentu, Prosedur Operasi Standard (SOP) serta perkara-perkara berkait pembukaan sempadan akan diumumkan pihak KKM dalam masa terdekat.